Ada orang ingat tidur adalah satu tabiat atau rutin biasa setiap hari, tapi sebenarnya tidur adalah satu keperluan untuk badan manusia.
Anda perlukan tidur yang cukup untuk badan anda kembali bekerja semula.
Tapi, kenapa ada orang masih rasa mengantuk walaupun tidur dah cukup?
Ye. Jangan terkejut sebenarnya ramai yang alami masalah ini. Malam dah cukup tidur 8 jam, tapi esok hari tetap mengantuk masa buat kerja kat pejabat.
Banyak faktor yang menjadi punca seseorang selalu rasa mengantuk. Ini antara sebab-sebabnya.
Sleep Apnea

Sleep Apnea adalah satu masalah gangguan tidur di mana pada waktu-waktu tertentu, nafas seseorang terhenti disebabkan oleh gangguan pada saluran pernafasan.
Simptom yang mudah dikesan adalah tidur dengan bunyi dengkuran kuat yang menandakan ada masalah pada saluran pernafasan.
Jadi, ketika nafas terhenti sekejap ketika tidur, otak akan menghantar signal kepada badan untuk bernafas semula.
Badan akan tersedar dari tidur dan kadang-kadang tersentak seketika, sebelum sambung tidur semula.
Disebabkan itu, anda tidak dapat tidur yang nyenyak dan berkualiti menyebabkan tetap rasa mengantuk di siang harinya.
Restless Leg Syndrome

Sindrom kaki resah juga salah satu gangguan tidur di mana seseorang itu tidak dapat mengawal pergerakan kakinya ketika tidur di waktu malam.
Ia disebabkan oleh rasa sensasi pada kaki yang tidak selesa dan mahu menukar posisi kedudukannya.
Kebanyakannya tidak sedar ketika sedang tidur, lagi-lagi mereka yang tidur berseorangan.
Kalau dah kahwin tu, mungkin pasangan perasan dan boleh tegur.
Kurang Pergerakan

Ini selalu berlaku dekat orang yang selalu bermalasan dan jarang buat aktiviti fizikal.
Dah layan K-drama atau anime yang banyak episod tu, dah mengantuk mestilah tidur kan.
Cukup 8 jam tidur, tapi rasa hairan sebab bila bangun masih rasa mengantuk lagi.
Kurangnya pergerakan yang dilakukan oleh badan boleh menjejaskan kualiti tidur anda.
Sekurang-kurangnya, senaman ringan sudah mencukupi untuk membantu tidur malam anda lebih lena.
Kemurungan dan Gelisah

“Duit tak cukup, umur dah senja tapi belum kahwin, dah kahwin lama tapi masih belum dapat anak, projek kerja banyak lagi tak siap.”
Macam-macam masalah yang difikirkan setiap hari sehingga menyebabkan seseorang itu sering gelisah dan jadi murung.
Ini salah satu punca yang menyebabkan badan jadi keletihan dan tak bermaya ekoran otak yang terlalu banyak berfikir.
Walaupun tidur cukup, tapi bangun dengan keadaan badan yang tak segar dan masih rasa mengantuk.
Berat Badan Berlebihan

Mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan selalunya akan selalu rasa mengantuk walaupun tidur dah cukup.
Ini kerana beban yang berat dipikul oleh badan membuatkan badan perlu bekerja lebih untuk melakukan tugasan harian berbanding mereka yang berat badan normal.
Jadi badan akan kerap berasa letih dan akan cepat rasa mengantuk.
Mereka yang berjaya menurunkan berat badan selalunya akan perasan perubahan seperti badan rasa lebih segar dan kurang rasa mengantuk seperti sebelumnya.
Jam Biologi Terganggu

Jam biologi merujuk kepada sistem semula jadi tubuh manusia yang mengatur organ untuk berfungsi mengikut rentak yang betul.
Sebab itulah bila tengah hari anda akan rasa lapar nak makan, bila malam rasa mengantuk nak tidur.
Itu semua dipengaruhi oleh jam biologi termasuklah mengatur suhu badan, fungsi jantung, otak dan hormon.
Jadi, rasa mengantuk di siang hari itu boleh disebabkan oleh gangguan pada jam biologi.
Ini sering terjadi kepada mereka yang bekerja bertukar shift atau shift malam dan juga pekerjaan yang merentasi zon waktu seperti pilot atau cabin crew.
Kesimpulannya, rasa mengantuk kebanyakannya disebabkan oleh gangguan pada tidur yang menyebabkan tidur tidak berkualiti walaupun sudah tidur cukup 8 jam.